Wednesday, February 18, 2015

6 PERKARA TERSEMBUNYI

ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحمَٰنِ الرَّحِِيم

6 PERKARA TERSEMBUNYI...

UMAR BIN KHATTAB R.A BERKATA:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala menyembunyikan 6 perkara di dalam 6 perkara yang lain iaitu:

1. Allah menyembunyikan keredhaan~Nya di dalam taat kepada~Nya.

Semua amal baik itu tersembunyi redha Allah SWT biarpun amal itu kecil pada pandangan kita tetapi ia besar nilainya di sisi Allah. Maka jangan sesekali perkecilkan segala amal.
Boleh jadi amal yang kecil dalam pandangan kita, itulah amal yang sangat Allah sukai.

2. Allah menyembunyikan Kemurkaan~Nya di dalam maksiat.

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kepada~Nya. Oleh itu susulilah perbuatan maksiat dengan amal soleh agar terhapus dosa tersebut.

3. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

Tujuannya disembunyikan agar kita tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan melupakan malam-malam lainnya dengan perkara-perkara yang melalaikan. Oleh itu Allah menghendaki hamba~Nya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.

4. Allah menyembunyikan para wali Allah di tengah-tengah manusia.

Pengajaran di sini ialah agar kita tidak menghina sesiapa pun di muka bumi ini kerana boleh jadi manusia yang kita hina itu adalah orang yang Allah kasihi.

5. Allah menyembunyikan kematian di dalam umur.

Hikmahnya agar kita sentiasa bersedia dengan amal soleh dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan
dan tidak terlibat dalam kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

6. Allah menyembunyi solat yang paling utama (solat wustha) di dalam solat 5 waktu.

Ramai di kalangan Ulama menyebut solat wustha itu adalah solat asar kerana keadaan waktunya yang payah dikerjakan. Maka wajarlah kita semua menjaga solat kita terutama solat wustha ini kerana ia merupakan perintah utama kepada kita semua

Penjelasan :

Allah merahsiakan 6 perkara tersebut di dalam 6 perkara yang lain, maksudnya agar kita :

1. Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan taat.
2. Betul-betul menjauhi maksiat.
3. Sungguh-sungguh menyambut Lailatul Qadar setiap malam.
4. Menghormati setiap orang.
5. Selalu menyiapkan diri untuk mati.
6. Giat mengerjakan solat.

Rujukan : Nashaihul Ibad - Ibnu Hajar al-Asqalani

Wallahu a'lam.

Sekian, selamat beramal.

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد