Friday, November 4, 2016

Nilai 15 sen buat orang miskin dan orang susah..

Tadi semasa di sebuah kedai ada orang berbual kata ish cuma 15 sen jer ustaz. Cuma seringgit lebih jer...bukan banyak pun. Sebenarnya abang seringgit atau sejuta semua takde kuasa. Yang berkuasa cuma Allah. Allah akan tanya seseorang yang tidur kekenyangan sedangkan jirannya lapar, Allah akan tanya dia di akhirat. Bagi seorang yang miskin dan susah, 15 sen tu sangat besar abang. Rm1 tu besar nilainya.

Tadi baru saya tengok seorang remaja tanya harga nasi lemak ini berapa makcik? Saya cuma nak yang rm1 jer. Bagilah yang mana-mana pun. Sebak rasa dan saya kata padanya adik ambil yang mana-mana pun abang belanja. Sedih rasa..ya Allah..

Semalam saya berbual dengan 2 orang kawan yang baru mula nak jual air tepi jalan sebab perniagaan lain tak jadi. Semua habis. Kedai tutup. Air dia jual cuma rm1 jer. Saya terima puluhan mesej perniagan mereka susah dan tak jadi. Mereka menangis minta doa.

Tahun lepas saya jumpa seorang makcik tua umur 70 tahun jalan kaki 20 km dalam hujan balik dari ambil ubat untuk anak sakit. Cuma ada Rm2. Tiada duit dalam bank. Rm1 guna di hospital. Rm1 bayar bas. Saya menangis mendengar kisah makcik tu..rumahnya buruk. Jaga seorang anak yang banyak buat masalah.

Saya pernah jumpa beberapa kali orang di stesen minyak tiada duit nak isi minyak. Hanya air mata dan muka malu-malu untuk minta pertolongan.

Saya pernah lihat anak sekolah tak makan macam kawan lain. Dia duduk seorang diri pergi solat Dhuha kerana tiada duit nak makan..di ajak makan dia menolak. Katanya nak solat dhuha rupanya dia tiada duit. Mereka berdoa sambil menangis. Dari kecil hidupnya begitu.

Seorang hafiz Al-Quran sedang belajar lari sana sini kerja. Semua orang marahkannya sebab risaukannya. Tapi siapa tahu apa yang dia tanggung menanggung ibunya yang dah tua. Tinggal dalam pondok buruk dikelilingi bahaya dalam pedalaman dengan sedikit duit zakat dan menjual kuih. Menangis waktu malam. Semua orang ada kisah...

Saya pernah jumpa sekeluarga sentiasa buka puasa di masjid kerana tiada duit langsung..

Saya pernah bawa beberapa anak muda belajar agama. Dompet mereka kosong. Gaji sikit lepas tu semua bagi pada mak ayah di kampung. Bila dapat upah sikit untuk menolong kerja sikit sikit. Mereka bersyukur dan ulang-ulang cakap terima kasih.

Saya pernah lihat seorang yang baik diminta oleh bos poskan sesuatu. Boss nya terlupa bagi duit. Akhirnya dia cakap, dia langsung tiada duit. Dah seminggu duit habis. Cuma makan nasi dengan masak kuah air kosong di rumah.

Saya lihat orang kena saman kena tinggalkan motor sebab tiada lesen. Di suruh naik bas. Menangis merayu sebab semua duit dah jadi minyak. Kerja sara keluarga. Hidup susah.

Masih ramai orang tak keluar rumah dan tak pergi kenduri sebab tiada duit nak isi minyak kereta dan rumah. Anak-anak tak pernah merasa mainan dan ipad macam anak orang lain. Takdir kita semua tak sama. Kita semua terus berusaha tapi jangan pandang hina pada orang lain.

Dalam Al-Quran, Allah menerangkan siapakah manusia penipu pendusta dalam agama. Iaitu orang yang tidak mengasihi orang miskin dan anak yatim dan lalai dalam solat...penipu yang tak suka tengok orang lain tolong orang susah. Lebih teruk dah susahkan orang tapi tak rasa apa-apa lagi sebab dah terlalu lama hidup senang. Lebih teruk tak pernah langsung rasa susah dalam hidup ini. Duit bersepah-sepah dan sudah tiada nilai. Benci dan pandang lekeh orang miskin dan susah. Kita yang kaya terlupa mungkin kita diberikan rezeki kerana doa orang miskin dan lemah di kalangan kita. Ingat baik-baik sementara diberi peluang. Saya jumpa ramai orang kaya yang tak faham bagaimana orang miskin ni pemalas. Memang ada yang malas tapi bukan semua. Mungkin bila Allah ambil semua kembali baru mereka faham....

Ada kerana beberapa sen makan nasi kosong tanpa lauk apa pun. Kerana beberapa sen ramai yang tak mampu nak beli susu anak. Pergi kedai setiap barang tanya harga. Kerana duit cukup-cukup jer. Ada seorang anak bayar yuran madrasah dengan duit sendiri hasil kutip duit raya. Itupun belum cukup. Keluarkan duit syiling bayar yuran.

Kata ketua pendeta di zaman kegemilangan Islam. Jika ingin kalahkan orang Islam senang sahaja. Saat pemimpin mereka mengutip cukai sedangkan mereka hidup mewah dan senang itulah zaman kehancuran dan kekalahan mereka. Dengan mudah mereka akan kalah kerana mereka tiada bantuan dari tuhan lagi.

Di zaman sahabah rhum dan orang soleh dulu saat menjadi pemimpin dan pembesar mereka kata kamu boleh belah anggota aku dan lihat darah aku yang mengalir tiada di dalamnya dari harta rakyatku. Itulah Islam dulu-dulu sehingga semua kerajaan lain ingin diperintah oleh orang Islam. Islam ialah kasih sayang tuhan. Kasih sayang Allah dizahirkan dengan orang Islam beriman yang sayang orang lemah. Indahnya Islam.

Marilah kita menarik rahmat Allah malam ni dengan kita tambah sedekah dan cari mana-mana orang susah dan bantu mereka. Terbaik kita bantu ahli keluarga kita yang rapat. Ahli keluarga isteri kita. Rezeki kita bertambah dengan sedekah. Allah janjikan dalam taat. Jaga solat awal waktu kerana Allah janji rezeki di dalamnya. Buat solat dhuha 8 rakaat sehari. Baca surah waqiah setiap malam. Kita doakan hidayat buat semua ketua dan pembesar supaya Allah berikan hidayah buat mereka dan mereka bertaubat atas kesalahan mereka menzalimi ramai orang.. Janganlah benci sesiapa. Kerana Tuhan sayang dan memaafkan kita selagi kita mudah memaafkan orang Islam lain. Kita semua saudara satu kalimah. Semua orang buat silap tapi yang terbaik yang minta ampun. Buatlah dakwah dan doalah hidayah buat 5 bilion orang yang belum Islam. ya Allah maafkanlah kami semua. Kami semua bertaubat kepadaMu. Ya Allah paling kami takutkan kemurkaanMu. Yang paling kami inginkan ialah keredhaanMu. Hanya KegembiraanMu atas kami membuat segalanya berbaloi.

Begitulah lebih-lebih lagi nilainya iman di akhirat nanti. Itulah hari penentuan segalanya. Tiada beza antara orang kaya dan miskin melainkan takwa. Setiap amalan menjadi begitu bernilai. Semuanya akan dihitung. Tiada satu masa yang berlalu yang tidak ditanya oleh Allah.
Mungkin malam ni kita mati, marilah kita semua bertaubat pada Allah. Tiada masalah yang lebih besar dari mati tanpa mengenal Allah. Itulah masalah paling besar dan paling dahsyat.. Tiada bahagia yang lebih besar selain dari mencintai Allah. Mencintai Nabi saw..ya Allah rindunya kepadaMu..Terima kasih beri kami Islam..-yang bersyukur pasti mulia dan yang bersabar pasti berjaya
Ubat bagi setiap orang kaya dan miskin ialah beri masa berdakwah di jalan Allah. Duduk dan makan bersama orang miskin. Melihat dan memahami keadaan manusia yang lain- ebit lew