بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Makna Tilawah
Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayatSajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.
.
Disunat bersujud dengan niat Tilawah bagi pembaca atau pendengar ‘ayat Sajadah’. Selain dari ‘Sujud Tilawah’ sujud ini juga dikenali sebagai ‘Sujud Sajadah’.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu ia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak, maka untukku neraka.” (HR Bukhari dan Muslim.)
.
Hukum Sujud Sajadah adalah sunat mu’akad, atau sunat yang amat digalakkan.
Dari Umar r.a; Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, Baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah Baginda SAW bersabda: “Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi sesiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan sesiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa.” (HR Bukhari)
1. Ayat-ayat Sajadah
Di dalam Al-Quran terdapat 15 ayat-ayat sujud sajadah iaitu:
1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-‘Alaq) Ayat 19
Nota:
Perlu dinyatakan bahawa bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 menurut madzhab Syafi’iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah. Bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 pula menurut Syafi’iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk ‘Sujud Syukur’.
2. Syarat Sujud Tilawah
Suci badan, pakaian dan tempat sujud.
Menutup aurat.
Menghadap kiblat.
Sujud setelah selesai membaca ayat Sajadah.
Dalam solat berjamaah, makmum wajib mengikuti Imam bersujud Tilawah. Gugur keahlian solat berjamaah, jika tidak ikut bersujud.
3. Rukun Sujud
1. Niat Sujud Tilawah
“Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
2. Bertakbir
3. Sujud
4. Salam.
4. Bacaan Sujud Tilawah (Sajadah)
Dalam Sujud Tilawah dianjurkan membaca:
“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”
5. Zikir-Zikir Lain
Bacaan zikir-zikir yang lain ketika Sujud Tilawah. Sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)
.
Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
“Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana.”
Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud solat.
.
Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ.
“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)